comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

8.94 juta jawatan direkod pada suku pertama, tertinggi sejak 2018

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Jumlah jawatan pada suku tahun pertama 2024 meningkat sebanyak 1.5 peratus dari tahun ke tahun kepada 8.94 juta jawatan, iaitu rekod tertinggi sejak 2018, menurut Statistik Guna Tenaga bagi suku tahun pertama 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata pada suku tahun pertama 2023, jumlah jawatan yang dicatatkan adalah sebanyak 8.81 juta.

Katanya, peningkatan dalam bilangan jawatan berkenaan menunjukkan permintaan buruh di Malaysia dijangka semakin menggalakkan pada 2024, selari dengan ekonomi yang diramalkan berkembang pada kadar yang lebih cepat iaitu daripada empat hingga lima peratus berikutan permintaan luar dan pelaburan yang lebih besar.

Mengulas situasi jawatan mengikut aktiviti ekonomi, Mohd Uzir berkata bilangan jawatan diisi berada pada trend menaik dengan prestasi tahun ke tahun meningkat sebanyak 1.5 peratus daripada 8.61 juta pada suku pertama 2023 kepada 8.75 juta pada suku pertama 2024.

“Sementara itu, bilangan kekosongan jawatan pada suku tahun ini terus berada pada trend menurun, dengan penurunan marginal sebanyak 0.4 peratus kepada 191,900 kekosongan jawatan,” katanya.

Beliau berkata, bilangan jawatan diisi kekal stabil selari dengan perkembangan situasi ekonomi semasa dengan sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada 4.0 peratus, diikuti perkhidmatan (1.8 peratus) dan pembuatan (1.1 peratus).

“Berdasarkan perincian jawatan diisi mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan merupakan komposisi terbesar yang merangkumi 52.7 peratus atau bersamaan dengan 4.61 juta, diikuti pembuatan (26.9 peratus/2.35 juta) dan pembinaan (14.2 peratus/1.24 juta).

“Daripada jumlah jawatan diisi, kategori separuh mahir mendahului dengan 5.48 juta jawatan (62.7 peratus), diikuti oleh mahir dengan 2.19 juta (25.1 peratus) dan berkemahiran rendah dengan 1.07 juta (12.2 peratus),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini