comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

97.78 peratus syarikat produksi tidak mencarum KWSP

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA: Sebanyak 97.78 peratus syarikat penerbitan filem, drama dan seni tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Dapatan itu diperoleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Kajian Pengajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, banyak syarikat tidak memiliki kesedaran keperluan mencarum untuk pelakon kanak-kanak dan orang muda.

“Daripada kajian dijalankan hanya 2.22 peratus melakukan caruman KWSP, sementara 97.78 peratus tidak sedar mereka sepatutnya mencarum kerana mereka tidak melihat pelakon kanak-kanak dan orang muda sebagai penyumbang pendapatan kepada keluarga.

“Perkara ini adalah antara dapatan daripada hasil temu bual bersama pelakon kanak-kanak zaman dahulu seperti Aziz M Osman, Fauziah Ahmad Daud dan beberapa pelakon lain.

“Mereka berkongsi pengalaman terima tawaran sebagai orang yang terbabit dalam bidang seni, tetapi mungkin tidak ada satu kesedaran yang tinggi,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku Laporan Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia dan Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam yang berlangsung di Jabatan Perangkaan Malaysia, di sini, pagi ini.

Mohd Uzir berkata, keputusan itu tidak secara menyeluruh kerana ia adalah berdasarkan kajian bersasar terhadap pelakon kanak-kanak.

“Kalau dilihat, ini salah satu kajian yang menggunakan kajian bersasar yang diteliti dalam senario pelakon kanak-kanak dalam drama.

“Saya yakin, ini tidaklah boleh dijadikan secara keseluruhan industri bagi sektor perfileman, drama dan seni. Fokus kita adalah kepada kanak-kanak.

“Mungkin kalau orang dewasa secara automatik syarikat produksi akan melihat kekuatan akta dan keperluan untuk mencarum,” katanya.

Selain itu, keputusan kajian turut menyaksikan 73.1 peratus syarikat produksi yang terbabit dalam filem dan drama tidak mengetahui mengenai keperluan mendapatkan lesen hiburan awam sebelum menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Sebanyak 52.9 peratus syarikat tidak pernah memohon lesen, manakala 47.1 peratus tidak pasti berkenaan permohonan lesen hiburan awam.

Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia dilakukan antara 8 Februari hingga 31 Disember tahun lalu, membabitkan 361 syarikat yang menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem serta drama.

Kajian itu turut membabitkan 27 wakil daripada setiap kementerian, jabatan, agensi, ahli akademik, persatuan majikan, kesatuan sekerja, penerbit televisyen, syarikat produksi, pengarah dan penerbit filem dan bekas pelakon kanak-kanak.

Loading...
Terkini