comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Affin Bank raih untung bersih lebih rendah pada suku pertama 2024 

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd mencatat keuntungan bersih yang lebih rendah pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 kepada RM110.20 juta daripada RM148.98 juta tahun lepas berikutan pendapatan faedah bersih dan pendapatan lain yang lebih rendah.

Pendapatan faedah bersih berkurangan sebanyak RM39.9 juta atau 17.1 peratus kepada RM193.7 juta dalam tempoh semasa berikutan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya hasil adalah lebih tinggi berjumlah RM504.54 juta berbanding RM494.29 juta.

Jumlah aset kumpulan itu meningkat sebanyak 14.1 peratus, mencapai RM107.3 bilion pada suku pertama 2024, menokok daripada RM94.1 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Wan Razly Abdullah berkata tekanan kompetitif yang berlarutan terhadap harga deposit kekal mencabar.

“Bagaimanapun, kami kekal tertumpu untuk mengembangkan francais akaun simpanan akaun semasa (CASA) kami dan perniagaan margin yang tinggi di samping mengoptimumkan kos, yang terkandung dalam pelan Affin Axelerate 2028 (AX28),” katanya.

Deposit CASA berjumlah RM17.9 bilion pada suku pertama 2024 dan nisbah CASA mencatat 24.88 peratus.

Wan Razly berkata aplikasi perbankan mudah alih baharunya, yang dilancarkan pada Oktober 2023, telah meraih deposit CASA melebihi RM400 juta.

Menurutnya kumpulan itu kekal berhati-hati dengan persekitaran ekonomi yang mudah terjejas berikutan ketidaktentuan geopolitik di Eropah dan Timur Tengah, selain permintaan perdagangan yang lemah dari Amerika Syarikat dan Eropah.

“Berikutan kelemahan ekonomi global, kami telah meningkatkan piawaian penajajaminan kami dengan menjangkakan potensi kesan yang sederhana terhadap ekonomi Malaysia.

“Kedudukan modal kami dan peruntukan rizab kerugian pinjaman kekal tinggi untuk melindungi bank dan pemegang sahamnya,” kata Wan Razly.

— BERNAMA

Loading...
Terkini