comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AGX Group mula disenarai di pasaran ACE pada 41 sen

KUALA LUMPUR:AGX Group Bhd memulakan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 41 sen dengan mencatat premium sebanyak enam sen atau 17.14 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 35 sen.

Pada loceng pembukaan, kaunter menyaksikan sebanyak 6.87 juta saham saling berpindah tangan.

 

Syarikat itu akan memanfaatkan hasil kasar sebanyak RM33.78 juta yang dijangka diperoleh melalui IPO itu, termasuk masing-masing RM16.44 juta bagi tujuan modal kerja dan RM8.70 juta untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia dan Korea Selatan dengan membuka gudang dan pejabat baharu di Pulau Pinang dan Johor Bahru selain di Busan, Korea Selatan.

Selain itu, syarikat berkenaan turut memperuntukkan RM4.14 juta bagi tujuan bayaran balik pinjaman bank dan RM4.5 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ponnudorai Periasamy berkata kumpulan itu merancang untuk membuka sebuah gudang baharu di Pelabuhan Tanjung Pelepas yang terletak kira-kira 21 kilometer dari gudangnya di Singapura.

“Saya melihatnya sebagai langkah strategik yang baik berikutan projek Sistem Transit Aliran Ringan (RTS) Johor Bahru–Singapura yang kini siap 65 peratus.

“Di samping itu, terdapat memorandum persefahaman antara Singapura dan Johor bagi (pembangunan) zon ekonomi khas dan Johor-Singapura. Oleh itu, tindakan membuka sebuah gudang di sana akan melengkapkan lagi operasi kami di Singapura,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaaraian syarikat itu di sini, hari ini.

Mengulas rancangan AGX membuka gudang di Pulau Pinang, Ponnudorai berkata ini bertepatan dengan ciri negeri itu yang mempunyai kemudahan lapangan terbang, pelabuhan serta industri semikonduktor dan pembuatan yang mantap.

AGX telah pun memasuki Asean iaitu Singapura, Malaysia, Filipina, Myanmar dan Kemboja.

Kumpulan itu menyasarkan untuk melebarkan sayapnya ke Indonesia, Thailand dan Vietnam berikutan jumlah penduduk serta pasaran yang besar.

AGX Group merupakan penyedia perkhidmatan logistik pihak ketiga (3PL) yang merangkumi penghantaran barangan melalui laut dan udara, logistik aeroangkasa, pergudangan dan 3PL lain selain perkhidmatan menerusi jalan darat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini