comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AHB agih pendapatan 2.50 sen seunit bagi tempoh enam bulan

KUALA LUMPUR: Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) mengumumkan agihan pendapatan interim sebanyak 2.50 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2024, yang akan dibayar pada 15 April 2024.

Dalam kenyataan bersama hari ini, pihak AHB, Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) berkata agihan itu turut membabitkan pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.20 sen seunit dan agihan bonus sebanyak 0.30 sen seunit.

Pembayaran bonus dibuat oleh PHB selaku penaja AHB dan akan dibayar kepada sejuta unit pertama yang dimiliki oleh setiap pemegang unit.

“AHB akan membuat pembayaran berjumlah RM116.6 juta kepada kira-kira 80,000 pemegang unit untuk agihan pendapatan kali ini. Pendapatan pemegang unit tidak hanya dikecualikan daripada cukai, tetapi juga telah dizakatkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit, berkata agihan itu menunjukkan strategi pelaburan kumpulan itu yang kukuh dalam menguruskan portfolio hartanah.

“Kami secara strategik membina portfolio AHB kepada RM20 bilion menjelang 2030 dengan secara selektif memperoleh hartanah yang menghasilkan pendapatan serta mengambil bahagian dalam pembangunan hartanah dalam sektor sasaran seperti penjagaan kesihatan, industri dan pendidikan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Damshal berkata hampir keseluruhan daripada satu bilion unit tambahan AHB yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober 2023, telah dilanggan.

Ini, kata beliau, membuktikan kepentingan dana pendapatan AHB yang stabil dan dipercayai oleh pelabur, terutamanya dalam merancang portfolio pelaburan keseluruhan mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini