Oleh: Juliana Pija Ismail
PUTRAJAYA: Teknologi AI generatif berpotensi membuka kapasiti produktif ekonomi Malaysia bernilai RM529 bilion jika ia diterima pakai sepenuhnya merentasi industri.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, jumlah itu bersamaan dengan satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara pada 2022.
“Pertumbuhan produktiviti adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi bagi mana-mana ekonomi dan jika negara boleh membuka kunci potensi yang belum diterokai itu melalui penggunaan AI generatif, ia membawa negara lebih dekat untuk mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi” katanya pada pelancaran Laporan ‘The Economic Impact of Generative AI: The Future of Work in Malaysia’ disini hari ini.
Katanya, AI generatif berpotensi menyumbang secara ketara ke arah mempercepatkan pencapaian objektif dan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dengan memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi.
Dalam konteks RMK12, teknologi AI generatif boleh dimanfaatkan untuk mengoptimumkan peruntukan sumber dan pembangunan infrastruktur.
Analitik jangkaan dipacu AI boleh membantu mengunjurkan permintaan untuk perkhidmatan kritikal seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan, membolehkan kerajaan memperuntukkan sumber dengan lebih cekap.
Selain itu, generatif AI boleh memudahkan penggubalan dasar dipacu data, membolehkan penggubal dasar menilai kesan pelbagai strategi dan membuat keputusan termaklum untuk pembangunan ekonomi yang mampan.
Datuk Hanifah Hajar berkata, NIMP telah mengenal pasti penggunaan teknologi sebagai pemacu utama untuk membangunkan negara yang bertenaga secara digital.
Beliau berkata, ia diperincikan dalam Misi 2 NIMP yang menetapkan matlamat bercita-cita tinggi untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju pasaran dalam AI generatif dan mengukuhkan kehadiran negara dalam pasaran serantau dan global dengan membangunkan syarikat AI tempatan yang mempunyai keupayaan sistem penyepadu.
“Walaupun matlamat ini mungkin bercita-cita tinggi, ia tidak mustahil kerana kita telahpun melaksanakannya melalui Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR) dan Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan Malaysia (AI-RMAP).
Secara keseluruhannya, AI generatif berfungsi sebagai pemangkin untuk mencapai objektif RMK12 dan NIMP 2023 dengan menggalakkan keputusan dibuat berasaskan data dan memajukan keupayaan teknologi negara,” katanya.