comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia, AirAsia X bergabung di bawah satu syarikat

SEPANG: Capital A Bhd melupuskan semua pegangan dalam perniagaan penerbangannya iaitu AirAsia Bhd dan AirAsia Aviation Group Ltd kepada AirAsia X Bhd (AAX) bagi membentuk gabungan baharu dikenali sebagai AirAsia Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata semua perniagaan di bawah Capital A telah berkembang dengan pesat dan pihaknya kini bersedia untuk ke peringkat yang seterusnya.

Beliau berkata, pihaknya perlu mengumpulkan dana untuk mengembangkan perniagaan, tetapi mendapatkan akses kepada modal telah menjadi suatu cabaran disebabkan Capital A masih dalam status Notis Amalan 17 (PN17).

“Kami telah berinteraksi dengan pelabur yang menyatakan kecenderungan mereka yang tinggi untuk terbabit dalam sebuah perniagaan penerbangan sepenuhnya.

“Bagi mengatasi perkara ini serta memastikan akan mendapat suntikan kewangan yang kukuh, kami akan meneruskan penjualan perniagaan penerbangan secara strategik kepada AAX bagi mewujudkan sebuah perniagaan penerbangan menggabungkan kedua-dua syarikat penerbangan jarak jauh dan dekat di bawah jenama AirAsia, tertakluk kepada rundingan perjanjian jual beli saham yang muktamad dan penyelesaiannya.

“Selepas pelupusan ini, syarikat penerbangan akan bersedia untuk mendapat manfaat daripada pihak pengurusan yang berfokus dengan hala tuju strategik yang lebih jelas yang akan meningkatkan kapasiti perniagaan penerbangan itu dalam meraih peluang pertumbuhan, memperkembang bahagian pasaran, dan akhirnya mencapai keuntungan yang lebih dipertingkatkan,” katanya.

Beliau mengumumkan langkah berkenaan pada taklimat media yang diadakan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Capital A, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam.

Loading...
Terkini