
SEPANG: Kumpulan syarikat penerbangan AirAsia termasuk AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Filipina dan kumpulan syarikat penerbangan jarak sederhana, AirAsia X Malaysia dan AirAsia X Thailand dianugerahkan syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia oleh AirlineRatings.com pada Anugerah Kecemerlangan Syarikat Penerbangan tahunan.
Dilancarkan pada tahun 2001 oleh Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes dengan hanya dua pesawat, AirAsia telah mengalami pertumbuhan yang menakjubkan sejak dua dekad lalu dan menguasai rantau Asia, serta mempunyai jumlah pesawat dan destinasi terbesar di rantau ini.
Kecemerlangan syarikat penerbangan yang berpangkalan di ASEAN ini adalah salah satu kisah kejayaan besar industri penerbangan, Lebih-lebih lagi apabila ia terpaksa menghadapi pelbagai krisis ditambah pula dengan cabaran kekangan oleh kerajaan tempatan untuk melindungi syarikat penerbangan nasional masing-masing.
Syarikat-syarikat penerbangan di bawah Kumpulan AirAsia terus melakar sejarah dalam industri penerbangan di Asia dan global.
Ketua Pengarang AirlineRatings.com Geoffrey Thomas berkata bahawa kemenangan ini ‘amat wajar’.
“Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail telah melakukan tugas yang cemerlang dalam membimbing kumpulan syarikat penerbangan ini untuk mendominasi pasaran mereka.”
“Kumpulan syarikat penerbangan ini telah menjadikan perjalanan mampu milik untuk ratusan juta penumpang di seluruh Asia, dan mereka menawarkan nilai yang luar biasa serta pengalaman perjalanan yang hebat.”