comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia X lancar semula laluan ke Busan

Foto Hiasan

SEPANG: AirAsia X (AAX) terus mengembangkan perkhidmatan penerbangannya ke Korea Selatan dengan pelancaran semula laluan eksklusif dari Kuala Lumpur ke Busan, bermula hari ini.

Penerbangan sulung itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada jam 2.10 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pada jam 9 pagi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail, berkata sebagai destinasi ke-15 syarikat penerbangan itu dan yang kedua di Korea Selatan, penerbangan tiga kali seminggu ke/dari Busan memainkan peranan penting dalam merangsang permintaan perjalanan baharu dan mengukuhkan AAX sebagai peneraju pasaran di Asia Utara melalui tambang bernilai terbaik serta memacu persaingan yang lebih hebat.

Katanya, AirAsia X teruja untuk memulakan semula laluan terkenal ini dan bangga menjadi satu-satunya syarikat penerbangan di Malaysia yang mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Busan, sebuah bandar yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan.

“Mulai hari ini, perjalanan udara antara Busan dan Kuala Lumpur kini lebih mudah dan berpatutan, memberikan rangsangan yang dialu-alukan untuk pelancongan dan ekonomi tempatan.

“Berserta laluan sedia ada kami ke Seoul, pengumuman hari ini mengukuhkan lagi kedudukan pasaran kami di Korea Selatan dan meningkatkan kapasiti keseluruhan kami ke Asia Utara, pasaran AirAsia X yang paling pesat berkembang.

“Kami akan terus mencari peluang pengembangan pada masa hadapan dan bekerjasama dengan BTO (Pertubuhan Pelancongan Busan) untuk mempromosikan destinasi ini secara global dan menggiatkan industri pelancongan di Busan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden BTO, Jung-Sil Lee, berkata permulaan semula perkhidmatan ini menyokong misi mereka untuk membina asas pelancongan mampan dengan memberi tumpuan kepada penerbangan ke laluan paling popular terlebih dahulu dan menyokong sektor pelancongan Busan yang terkenal dengan sejarah, budaya, juadah dan seni tempatannya.

“Busan juga turut dinamakan sebagai salah satu daripada ’25 Destinasi Pelancongan Terbaik di Dunia pada 2023′ oleh National Geographic berikutan bandarnya yang mempunyai budaya dan tawaran pelancongan yang menakjubkan.

“Selaras dengan pengiktirafan ini, kami berharap dapat bekerjasama dengan AAX untuk meningkatkan permintaan pelancongan di Busan dan menarik pengembara bukan sahaja dari Malaysia, malah negara Asia Tenggara lain yang kini boleh terbang ke bandar ini dengan mudah dan berpatutan melalui Kuala Lumpur,” katanya. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini