comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia X Rekod Untung Bersih RM32.8 bilion

AirAsia X memulakan operasi ke Incheon, Seoul dan Delhi pada suku semasa 2022.

KUALA LUMPUR: Sekatan perjalanan yang dilonggarkan secara beransur-ansur membolehkan AirAsia X Bhd (AAX) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM32.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM652.52 juta pada suku kempat tahun kewangan 2022.

Pendapatan pada suku keempat tahun kewangan berjumlah RM107.18 juta, menjadikan hasil setahun penuh kepada RM438.77 juta.

“Syarikat kini beroperasi dalam suasana harga bahan api yang lebih tinggi, kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS dan telah mendapat kelulusan kawal selia bagi laluan yang ada,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

AAX berkata, seperti yang diumumkan pada 2 Disember 2020, tahun kewangan berakhir syarikat telah ditukar daripada 31 Disember 2020 kepada 30 Jun 2021 dan sehubungan itu perbandingan dalam maklumat kewangan tidak disertakan untuk suku yang sama tahun lalu.

Pada suku dalam tinjauan, kumpulan itu merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM652 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM33.62 juta pada suku kedua tahun kewangan 2022.

Melangkah ke hadapan, AAX berkata syarikat itu dijangka meningkatkan operasinya ke Jepun, Australia, New Zealand, United Kingdom (UK), Istanbul, Dubai dan Jeddah menjelang akhir 2022 dan awal 2023 memandangkan sekatan perjalanan telah dilonggarkan secara beransur-ansur di rantau terbabit termasuklah di Malaysia.

Syarikat itu telah memulakan operasinya ke Incheon, Seoul dan Delhi, India pada suku semasa 2022, katanya.

“Laluan yang dirancang telah mengambil kira faktor muatan kargo dan permintaan yang tinggi, yang akan menyumbang secara positif kepada kewangan syarikat,” katanya.

Bagaimanapun, AAX menjangkakan faktor muatan akan berkembang secara berperingkat-peringkat kerana terdapatnya cabaran di beberapa pasaran seperti di Australia yang disebabkan proses permohonan visa negara itu yang lebih lama, sekatan perjalanan di Jepun dan Taiwan, serta kemasukan terhad di China. – BERNAMA

Loading...
Terkini