comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia X sasar raih keuntungan menjelang akhir 2023

MELBOURNE: Syarikat penerbangan tambang rendah jarak sederhana, AirAsia X Bhd (AAX) menyasarkan keuntungan menjelang akhir 2023, berdasarkan permintaan  menggalakkan untuk perjalanan udara serta tambang rendah menarik yang ditawarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata syarikat penerbangan itu telah mendapat manfaat daripada penstrukturan semula kumpulan itu, membolehkan struktur kosnya turun sedikit, sekali gus memberi ruang untuk syarikat menetapkan tambang yang lebih rendah.

“Dari sudut positif, permintaan dalam pasaran tinggi tetapi penawaran sangat rendah. Tambang penerbangan (pasaran) agak tinggi (pada masa ini), jadi kami boleh mendapat manfaat daripadanya buat sementara waktu.

“Terdapat perbezaan besar antara tambang kami dan penyedia perkhidmatan penuh yang lain. Saya berpendapat kami akan menarik golongan berpendapatan sederhana yang tidak mampu membayar tambang tinggi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, pengerusi yang baharu dilantik Tunku Datuk Mahmood Fawzy berkata AAX telah meletakkan petunjuk prestasi utama dan sasaran sebagai panduan untuk pengurusan dalam mencapai misi pemulihan.

Bagi keberkesanan kos, Benyamin berkata bahawa AAX berhasrat untuk menjadi sebuah syarikat yang menjalankan perniagaannya pada tahap yang paling cekap, menyediakan jumlah frekuensi penerbangan yang tepat, mencukupi untuk memberikan perkhidmatan di semua rangkaian di bawah naungannya.

Beliau juga berkata AAX akan menerima kembali 150 kakitangannya, terdiri daripada juruterbang dan kru kabin yang telah menjalani cuti sepanjang pandemik melanda kembali ke syarikat menjelang Disember untuk mengukuhkan tenaga kerja sedia ada.

Mengenai rancangan AAX untuk mengembangkan perkhidmatannya ke Istanbul, Turki, Benyamin berkata rangkaian baharu itu mungkin dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan akan datang, manakala bagi London, syarikat penerbangan itu masih perlu menyelesaikan beberapa perkara sebelum ia boleh memulakan perkhidmatan. – BERNAMA

Loading...
Terkini