comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia X Umum Tambahan Penerbangan Jarak Sederhana

KUALA LUMPUR: Kumpulan AirAsia X (AAX) kini meningkatkan jumlah penerbangan jarak sederhana Malaysia AirAsia X (D7) kepada 44 penerbangan mingguan merentasi 10 laluan, dan menambah kekerapan operasi Thai AirAsia X (XJ) kepada 22 penerbangan mingguan meliputi lima laluan.

Penambahan kekerapan itu bermula dalam masa dua bulan akan datang.

AAX baru-baru ini melancarkan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Korea Selatan (Seoul-Incheon) dan India (New Delhi) serta menyambung semula laluan ke Australia (Sydney, Melbourne, Perth), New Zealand (Auckland) dan Jepun (Tokyo-Haneda dan Sapporo).

Dalam satu kenyataaan, kumpulan itu turut mengesahkan laluan baharu  Arab Saudi (Jeddah) serta Taipei bermula bulan November ini.

AAX berkata ia turut komited untuk memanggil balik semua juruterbang dan kru kabin yang terkesan oleh pandemik untuk kembali bertugas menjelang bulan Disember tahun ini.

“Sejak pandemik, AAX telah mengaktifkan semula seramai 175 juruterbang dan 285 kru kabin termasuk mengambil semula 131 kru kabin yang telah diberhentikan berikutan pandemik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX Malaysia, Benyamin Ismail berkata pada masa ini syarikat penerbangan itu beroperasi dengan empat buah pesawat berbadan lebar jenis A330 dan menjangka beroperasi dengan sehingga 13 buah pesawat menjelang suku pertama tahun 2023 untuk memenuhi permintaan yang kukuh dan semakin meningkat bagi penerbangan jarak sederhana.

“Mulai bulan Disember ini, kami akan menambah lebih banyak destinasi dan meningkatkan kekerapan penerbangan kami kepada 53 penerbangan mingguan termasuk penerbangan harian ke destinasi popular seperti Kuala Lumpur ke Seoul (Incheon).

“Ini menandakan bahawa perjalanan udara jarak sederhana semakin pulih dan kami berhasrat untuk memanfaatkan peluang ini dalam memacu pertumbuhan mampan bagi AAX,” kata beliau.

BERNAMA

Loading...
Terkini