comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Akaun 3 KWSP untuk kecemasan atau seronok berbelanja?

Foto hiasan

Oleh: Aderena Hanifah

PETALING JAYA: Akaun fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bakal diperkenalkan pada April tahun ini. Ia membolehkan ahli mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa untuk waktu kecemasan.

Namun, timbul persoalan adakah akaun berkonsepkan fleksibel itu akan digunakan dengan betul untuk waktu kecemasan atau untuk berbelanja kepada perkara yang tidak perlu?

Pihak KWSP masih memperhalusi lagi akaun tersebut dan akan perjelaskan kepada pencarum semasa mengumumkan agihan dividen pada Februari.

Akaun 3 diperkenalkan atas permintaan orang ramai yang mendakwa masih menghadapi masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19 walaupun kerajaan telah membenarkan 4 pengeluaran khas KWSP antara 2020 hingga 2022 dan membabitkan RM147 bilion.

“Saya berstatus tidak bekerja dan banyak benda penting perlu dibayar. Jadi bagi saya dah tiada tempat lagi untuk saya dapat duit tersebut selain pada akaun 3 bakal diwujudkan ni, “kata Tunku Danish Tunku Salman kepada Buletin TV3.

Katanya lagi, Akaun 3 dapat membantu ahli yang sedang memerlukan wang dalam waktu segera. Namun, ada juga segelintir ahli KWSP yang tidak bersetuju Akaun 3 dilaksanakan kerana wang itu sepatutnya digunakan untuk hari tua.

“Saya tak setuju kalau Akaun 3 dilaksanakan sebab bagi saya KWSP untuk masa depan kita. Mungkin boleh longgarkan sedikit syarat untuk KWSP Akaun 2,” kata pekerja awam Nur Fashahira Md Ali.

Katanya, syarat bagi pengeluaran Akaun 2 mungkin boleh dilonggarkan bagi membantu ahli yang menghadapi bebanan kewangan.

Izzi Farhana Norzaini pula berpendapat KWSP perlu menetapkan syarat bagi pengeluaran Akaun 3 bagi memastikan dana itu tidak disalahgunakan.

“Walaupun boleh dikeluarkan secara fleksibel tapi mungkin perlu letakkan syarat agar wang itu tidak dikeluarkan sewenang-wenangnya oleh orang ramai dan untuk mereka masih ada simpanan hadapan nanti,” katanya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong yang membantah pengenalan Akaun 3 berkata simpanan ahli KWSP menurun secara drastik ekoran pengeluaran khas semasa pandemik.

“Pada waktu yang sama kalau mereka tiada simpanan yang berlebihan dan kerajaan kata simpanan persaraan tidak cukup jadi buka Akaun 3 jadi ini akan membawa padah pada pencarum KWSP”

Statistik menunjukkan 4.7 juta ahli mempunyai simpanan kurang RM10,000 pada 2020. Dan sepanjang pandemik, angka itu meningkat kepada 6.3 juta ahli. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada ahli tetapi kepada KWSP sendiri.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jika pencarum keluarkan wang tersebut sewenang-wenangnya maka mereka tidak dapat menikmati kesan faedah berganda. Ini kerana setiap tahun, KWSP akan memberi satu kadar dividen yang begitu kompetitif.

Justeru, pencarum perlu memikirkan kesan yang mereka akan hadapi jika terus membuat pengeluaran. Jika tiada keperluan penting, wang tersebut tidak perlu dikeluarkan dan pencarum akan menerima simpanan yang tinggi pada hari persaraan nanti.

Loading...
Terkini