comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Akta Tanggungjawab Fiskal, Akta Perolehan Kerajaan dijangka ke Parlimen akhir tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan Akta Perolehan Kerajaan dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini, demikian kata Maybank Investment Bank.

Ia berkata, ia akan menjadi aspek perundangan reformasi fiskal, di samping rasionalisasi subsidi yang berterusan iaitu beralih daripada sistem subsidi pukal kepada mekanisme subsidi bersasar.

Katanya, subsidi bersasar telah bermula dengan subsidi elektrik tahun ini, kemudian dijangka diikuti dengan subsidi bahan api tahun depan.

“Selepas Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), akan ada sidang khas Parlimen pada 11 hingga 19 September 2023 untuk pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Seterusnya ialah Belanjawan 2024 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober 2023, dan kami juga menjangkakan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan menjelang akhir 2023,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Pada 24 Feb, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2023 yang disemak semula, mengesahkan bahawa kerajaan akan membentangkan FRA tahun ini untuk memastikan tahap ketelusan yang lebih tinggi dan pengurusan ekonomi yang lebih bertanggungjawab.

Sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, FRA yang dijadual dibentangkan tahun ini akan merangkumi beberapa komponen antaranya had peratusan hutang kerajaan tidak melebihi 65 peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan menanggung bayaran khidmat hutang yang tidak melebihi 15 peratus daripada bajet tahunan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sebarang perbelanjaan operasi kerajaan harus berdasarkan hasil pendapatan kerajaan, bagaimanapun kelonggaran berhutang diberikan kepada perbelanjaan pembangunan.

Katanya, bagi had siling hutang statutori negara, kerajaan telah menaikkan had siling sebanyak dua kali daripada 55 peratus kepada 60 peratus daripada KDNK semasa pandemik COVID-19 dan kemudian kepada 65 peratus sehingga kini.

Loading...
Terkini