Tumpuan :
Detik Niaga

Aktiviti ambil untung menyebabkan Bursa Malaysia dibuka rendah

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan indeks petunjuk utama susut susulan tindakan segelintir pelabur mengambil keuntungan selepas kenaikan semalam.

Pada 9.05 pagi ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.75 mata ke paras 1,464.09 daripada 1,466.84 semalam – angka tertinggi dalam tempoh melebihi lapan bulan.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.06 mata kepada 1,464.78.Kaunter untung mengatasi rugi dalam jumlah kecil iaitu 140 berbanding 135 manakala 269 lain tidak tidak berubah, 1,836 tidak diniagakan selain 24 kaunter yang digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 163.43 juta unit bernilai RM71.94 juta.

Bagaimanapun, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng yakin sentimen yang kembali pulih pada masa ini akan mendorong FBM KLCI berlegar dalam julat 1,465-1,475.

“Wall Street misalnya terus mencatat peningkatan, kebanyakannya dipacu oleh perkembangan membabitkan data inflasi AS yang lebih lemah dan memaparkan bahawa kitaran kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan telah berakhir.

“Biarpun tiada sebarang petunjuk mengenai pengurangan kadar faedah setakat ini, sentimen kekal positif berikutan persepsi bahawa kadar faedah itu mungkin telah mencecah paras kemuncaknya,” katanya.

Berikutan itu, Rakuten Trade berpendapat bahawa indeks utama Bursa Malaysia itu akan dapat ditutup melebihi paras 1,500.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini