comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Aktiviti buru saham murah rancakkan dagangan Bursa Malaysia pada sesi pembukaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Aktiviti memburu saham berharga murah mendorong Bursa Malaysia dibuka dalam zon positif pada pagi urus niaga Khamis.

Pada 9.38 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.55 mata kepada 1,475.10 daripada 1,469.55 pada penutupan urus niaga Rabu.

Pasaran pagi ini memulakan dagangan dengan 2.91 mata lebih tinggi pada 1,472.46.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 273 berbalas 204, manakala 292 kaunter tidak berubah, 1,440 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 657.43 juta unit bernilai RM208.27 juta.

Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, walaupun terdapat aktiviti memburu saham berharga murah, sentimen keseluruhan masih agak membosankan kerana bursa tempatan sedang mengalami konsolidasi yang sederhana.

“Namun begitu, kami masih berpendapat bahawa ekuiti tempatan sudahpun matang untuk pengumpulan dan indeks dijangka menunjukkan lantunan dalam masa terdekat.

Oleh itu, kami mengunjurkan indeks berada dalam julat 1,465-1,475 hari ini.

“Sementara itu, kebimbangan terhadap permintaan yang lemah dari Amerika Syarikat menyaksikan harga minyak mentah merosot teruk dengan minyak mentah Brent lemah menjadi US$78 setong dan ini boleh memberi kesan kepada stok minyak dan gas hari ini,” katanya dalam nota hari ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini