comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Aktiviti ekonomi meningkat, penganggur di Malaysia berkurangan

 

KUALA LUMPUR: Bilangan penganggur terus menurun kepada 600,900 orang November lalu berbanding 602,000 orang bulan sebelumnya, menjadikan kadar pengangguran di Malaysia pada berada pada 3.6 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh pada November 2022 terus kukuh selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa.

Justeru, beliau berkata kedudukan tenaga buruh terus berkembang pada bulan berkenaan, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja manakala bilangan penganggur berkurangan.

Pasaran buruh terus kukuh selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa -NSTP/Hairul Anuar Rahim

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada November 2022, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.71 juta orang, sementara kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus mencatatkan 69.8 peratus,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.11 juta orang.Katanya, kategori pekerja, yang merangkumi 75.8 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, terus mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.21 juta orang pada November 2022.

“Begitu juga, penduduk bekerja sendiri turut berada dalam trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 2.85 juta orang,” katanya.

Mengikut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit, perkhidmatan makanan & minuman; dan maklumat & komunikasi.

Katanya, trend yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan & pengkuarian.”Pada November 2022, 81.2 peratus daripada jumlah penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif,” katanya.

Beliau menjelaskan, kumpulan ini berada dalam trend penurunan selama 16 bulan berturut-turut, dengan pengurangan sebanyak 0.7 peratus kepada 488,000 orang.

“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 60.6 peratus, manakala mereka yang menganggur lebih daripada setahun adalah sebanyak 6.2 peratus.

“Dalam pada itu, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia, meningkat sebanyak dua peratus merekodkan 112,900 orang,” katanya.

Pada November 2022, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 11.9 peratus, merekodkan bilangan penganggur belia seramai 329,300 orang.

Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun menurun kepada tujuh peratus dengan 453,100 penganggur belia.

Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh, Mohd Uzir berkata pengoperasian berterusan kesemua aktiviti ekonomi dan sosial sehingga ke penghujung tahun 2022 membolehkan ekonomi negara terus berkembang pesat.

“Sehubungan itu, pasaran buruh juga dijangka terus mengekalkan momentum pemulihan ke arah pasaran buruh yang lebih stabil dan akan lebih memberangsangkan sejajar dengan perkembangan positif ekonomi semasa, terutamanya pada awal 2023,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini