comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Aktiviti jualan saham wajaran tinggi dorong Bursa rendah pada sesi pagi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR:Kegiatan jualan membabitkan saham wajaran tinggi terutamanya kaunter perkhidmatan kewangan mendorong Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah.

Pada waktu rehat tengah hari, FBM KLCI merosot 11.20 mata kepada 1,428.91 daripada penutupan Rabu pada 1,440.11.

Indeks utama yang dibuka 3.72 mata lebih rendah pada 1,436.39, berlegar antara 1,427.46 dan 1,436.97 sepanjang sesi.

CIMB dan Public Bank mendahului senarai rugi dalam kalangan 30 kaunter konstituen selepas susut 13 sen dan empat sen, masing-masing kepada RM5.42 dan RM4.10.

Kedua-dua kaunter mengheret turun indeks komposit dengan gabungan 3.53 mata.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 541 berbalas 251, manakala 436 kaunter tidak berubah, 1,157 tidak diniagakan dan 98 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.70 bilion unit bernilai RM1.06 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, peniaga akan memantau perbelanjaan penggunaan peribadi AS yang akan dikeluarkan lewat malam ini untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk cara Rizab Persekutuan AS menangani prospek kadar faedah.

“Selain itu, kami percaya peningkatan di Wall Street mungkin terhad kerana kerajaan AS berhadapan dengan prospek  penutupan jika Kongres tidak dapat meluluskan pelan pembiayaan menjelang akhir September,” katanya.

Peniaga juga akan menumpukan pada peluang perdagangan menjelang Belanjawan 2024, seperti produk perindustrian dan sektor pengguna, tambahnya. — BERNAMA

Loading...
Terkini