comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Aktiviti jualan sederhana mendorong dagangan Bursa Malaysia rendah

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Kegiatan jualan sederhana yang berterusan di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur mendorong Bursa Malaysia untuk mengakhiri dagangan tengah hari ini rendah.

Pada waktu rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.47 mata kepada 1,457.56 berbanding penutupan dagangan Jumaat lalu pada 1,459.03.

Indeks utama dibuka 2.07 mata lebih rendah pada 1,456.96 dan berlegar antara 1,452.86 dan 1,458.46 di sepanjang sesi dagangan pagi.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 470 berbalas 389, manakala 363 kaunter tidak berubah, 1,151 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.94 bilion unit bernilai RM1.04 bilion.

Pasaran serantau utama kebanyakannya lebih rendah pada hari Isnin, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah Wall Street minggu lepas berikutan kebimbangan baharu terhadap hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, ia berpendapat sentimen secara keseluruhan akan kekal positif di bursa tempatan selepas tiga memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion ditandatangani dengan syarikat China pada hujung minggu.

“Kami percaya peniaga akan mengalih perhatian kepada sektor-sektor sisa kepada tenaga, pergudangan dan logistik, serta sektor perladangan untuk peluang perdagangan susulan pemeteraian MoU berkenaan.

“Sementara itu, kami masih memilih sektor tenaga memandangkan harga minyak Brent telah melebihi US$93 setong,” kata firma broker itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini