comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Aliran Keluar Asing Ekuiti Malaysia Mengecil Kepada RM68.22 Juta

KUALA LUMPUR: Jualan asing ekuiti Malaysia berkurangan kepada RM68.22 juta minggu lepas berbanding minggu sebelumnya yang berjumlah RM479.7 juta.

Ini merupakan aliran keluar paling rendah dalam tempoh tujuh minggu.

Menurut MIDF Research, pelabur asing merupakan penjual bersih di Bursa Malaysia untuk setiap hari dagangan kecuali Selasa dan Jumaat dengan aliran keluar paling banyak dicatatkan pada Khamis berjumlah RM83.4 juta.

Sementara itu, aliran masuk paling tinggi daripada pelabur asing direkodkan pada Selasa berjumlah RM102.6 juta.

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih paling banyak minggu lepas oleh kalangan pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan, tenaga dan telekomunikasi, masing-masing merekodkan RM81.1 juta, RM46.8 juta dan RM27.7 juta, ” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, aliran keluar bersih tertinggi ialah penjagaan kesihatan dengan sejumlah RM95.5 juta, produk perindustrian dan perkhidmatan (RM81 juta) dan pembinaan (RM45.3 juta).

Selain itu, ia menambah institusi tempatan adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas, kecuali pada hari Selasa dengan aliran keluar bersih sebanyak RM105.7 juta.

Manakala aliran masuk bersih paling tinggi  bagi institusi tempatan adalah pada Khamis berjumlah RM120.5 juta.

Secara kumulatif, institusi tempatan telah membeli bersih ekuiti bernilai RM147.5 juta minggu lepas. – BERNAMA

Loading...
Terkini