comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Aliran masuk dana asing kekal dua minggu berturut-turut

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, menyumbang kepada aliran masuk bersih RM131.8 juta.

Ia adalah minggu dagangan yang pendek berikutan Hari Wilayah Persekutuan pada Khamis lalu.

MIDF Research dalam laporan aliran dana yang diterbitkan hari ini berkata, jualan bersih asing sebanyak RM96.2 juta dilihat pada Isnin dan RM24.6 juta pada Selasa, tetapi menjadi pembeli bersih pada Rabu iaitu sebanyak RM166 juta dan RM86.6 juta pada Jumaat.

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah telekomunikasi dan media (RM85.5 juta), produk perindustrian dan perkhidmatan (RM37.5 juta) dan perladangan (RM23.2 juta).

“Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM84.8 juta), hartanah (RM49.2 juta) dan REIT (RM16 juta),” katanya.

MIDF Research berkata, institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut sebanyak RM141.3 juta, memperlihatkan jualan bersih besar dicatatkan pada Rabu dan Jumaat dengan masing-masing sebanyak RM175.1 juta dan RM116.8 juta.

Ia berkata, pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih pada Isnin dan Selasa dengan masing-masing sebanyak RM97.3 juta dan RM53.3 juta.

Sementara itu, katanya, peruncit tempatan pula merekodkan pembelian bersih mingguan pertama mereka tahun ini sebanyak RM9.5 juta selepas jualan bersih untuk empat minggu berturut-turut.

“Belian bersih peruncit tempatan adalah sebanyak RM9.1 juta pada Rabu dan RM30.2 juta pada Jumaat, selepas jualan bersih RM1.1 juta pada Isnin dan RM28.8 juta pada Selasa,” katanya.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 4.5 peratus, manakala peruncit dan institusi tempatan masing-masing merosot sebanyak 17.5 peratus dan 15.5 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini