comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Alliance Islamic Bank tawar pembiayaan RM400 juta bantu PKS berjaya dalam sektor halal

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Alliance Islamic Bank Bhd (AIS) menyediakan pembiayaan patuh syariah RM400 juta tahun ini melalui program ‘Halal in One’ (HIO), sebuah ekosistem halal yang menawarkan sokongan kewangan dan bukan kewangan untuk membantu pemilik perniagaan berkembang dan berjaya dalam sektor halal.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AIS, Rizal Il-Ehzan Fadil Azim berkata program itu menawarkan sokongan pensijilan halal menyeluruh, khidmat nasihat, pendanaan patuh syariah, bantuan untuk mendigitalkan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain akses pasaran global bagi perniagaan yang ingin memperluas capaian mereka kepada pelanggan dalam segmen halal.

Beliau berkata HIO juga membantu perniagaan mendapatkan pembiayaan tersesuai untuk kos pensijilan, pengubahsuaian premis, sewa beli peralatan dan modal kerja.

“Berdasarkan pasaran halal global yang dijangka berkembang pesat daripada US$3 trilion pada masa ini kepada US$7.7 trilion menjelang 2030, kami mendapati banyak perniagaan menyedari peluang yang mereka boleh memanfaatkan untuk meningkatkan jualan. (US$1=RM4.74)

“Bagaimanapun, pemilik perniagaan menghadapi pelbagai cabaran apabila menceburi segmen halal seperti kekangan modal, persaingan sengit, teknologi ketinggalan zaman, rangkaian perniagaan terhad, dan kurang pengalaman dalam mendapatkan dan mengekalkan pensijilan halal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata lazimnya PKS tidak mendapatkan pensijilan halal kerana kekurangan pemahaman, menganggap prosesnya adalah satu kesukaran serta kewangan yang terhad.

“Justeru, bersama-sama rakan kongsi kami yang ramai, program HIO akan membantu PKS memulakan usaha halal mereka,” katanya.

Antara rakan kongsi itu ialah Halal Development Corporation Bhd dan HQC Commerce, yang membantu menjana prospek dan minat berkualiti tinggi terhadap perniagaan PKS menerusi usaha seperti acara yang diadakan di lapangan.

Rizal Il-Ehzan berkata program itu, yang berpaksikan tiga saranan nilai (iaitu mewujudkan perniagaan halal, mengembangkan halal dan mendanai halal), menyokong visi AIS untuk menjadi rakan kongsi perbankan pilihan bagi kalangan pemilik perniagaan dan komuniti.

“Tiga saranan nilai HIO ini membantu pemilihan rakan kongsi kami dan mengembangkan ekosistem kepakarannya. HIO membolehkan perniagaan memanfaatkan pasaran halal menerusi perkhidmatan kami yang disesuaikan dengan keperluan mereka,” katanya.

AIS setakat ini bekerjasama dengan sembilan pihak dan menyokong lebih 100 PKS sejak pewujudan HIO pada 2020.

Antara PKS yang dibantu AIS untuk mendapatkan pensijilan halal ialah Signature Market, jenama barangan pengguna gaya hidup cepat laris tempatan.

CEO dan Pengasas Bersama Signature Market, Edwin Wang berkata menjadi jenama yang diperakui halal memberi jaminan kepada pelanggan dan meningkatkan daya tarikan kepada segmen sasaran lebih luas.

“Kami percaya dengan diperakui halal, ia juga akan membolehkan kami memperoleh tahap kepercayaan dan kredibiliti yang lebih tinggi dalam pasaran.

“Menerusi penyertaan program ‘Halal in One’, kami menerima bimbingan dan nasihat sepanjang proses pensijilan halal, membantu kami membuat persediaan yang lebih baik untuk audit dengan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2022 kelulusan pembiayaan HIO AIS meningkat lima kali berdasarkan tahunan kepada RM254 juta berbanding RM43.3 juta pada tahun kewangan 2021, dengan 46 peratus daripada kelulusan pembiayaan adalah untuk pelanggan baharu bank.

Selain itu, bank itu menyediakan pilihan pembiayaan lain untuk pemilik perniagaan, terutama perusahaan mikro dalam industri halal, bagi memenuhi keperluan pembiayaan mereka dengan cepat.

Mereka boleh memohon pembiayaan patuh syariah sehingga RM1 juta dengan mudah melalui Digital SME oleh Alliance Bank di https://www.alliancebank.com.my/digitalsme.

Proses permohonan digital yang dipermudahkan membolehkan pemilik perniagaan memohon dan menjejaki status dengan mudah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Perniagaan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau memohon program HIO AIS boleh melayari https://www.alliancebank.com.my/halal-in-one. – BERNAMA

Loading...
Terkini