comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Amanah Ikhtiar Malaysia salur dana RM2.6 bilion bantu 320,000 usahawan tahun lalu

(Dari kiri) Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Aljunid, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan dan Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz di ibu pejabat AIM hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah menyalurkan dana RM2.6 bilion bagi membantu 320,000 usahawan pada 2023.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata dana tersebut ialah inisiatif kerajaan dalam membantu usahawan tempatan, menaik taraf kehidupan mereka, pada masa sama membasmi kemiskinan.

“Ada juga usahawan mula-mula menjadi sahabat AIM, permulaan daripada dia mendapatkan pertolongan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia dan hari ini dia boleh dapat hasil jualan satu bulan suku juta ringgit,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di ibu pejabat AIM hari ini.

Beliau turut menyertai program Himpunan MADANI Bersama Sahabat Usahawan India AIM di pekarangan ibu pejabat AIM bagi meraikan golongan usahawan di Lembah Klang dan Selangor.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Aljunid dan Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, tahun ini, AIM menyasarkan penyertaan 340,000 sahabat usahawan, dengan RM100 juta tambahan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, menjadikan jumlah dana RM2.61 bilion.

“Pemohon mestilah warga negara Malaysia, bermastautin di satu-satu tempat itu, sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun. Kita hanya menerima wanita sebagai sahabat AIM. Di AIM tidak ada CCRIS, CTOS dan sebagainya, walaupun telah disenarai hitam boleh meminjam dengan AIM, dengan syarat dia hendak berniaga,” katanya ketika mengulas syarat penyertaan sahabat AIM.

AIM turut mencatatkan kadar pinjaman tidak berbayar atau NPL yang rendah, pada 0.09 peratus tahun lalu, dengan hanya 240 daripada 320,000 orang gagal membayar pinjaman.

Terdapat juga program khas untuk membantu meningkatkan pendapatan dan membasmi kemiskinan.

Sejak ditubuhkan pada 1987, AIM telah meluluskan pinjaman sebanyak RM32.52 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini