comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Anak syarikat Eco World Development terbit sukuk sulung bernilai RM550 juta

FOTO: theedgemarkets.com

KUALA LUMPUR: Unit milik penuh Eco World Development Group Bhd, Eco World Capital Bhd, menghasilkan program sukuk wakalah dengan nilai nominal RM1.2 bilion dan berjaya menerbitkan sukuk sulungnya bernilai RM550 juta dengan tempoh lima tahun.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata program tersebut dijamin oleh  Eco World Development dan diberi penarafan kredit akhir AA- IS(CG) dengan prospek stabil oleh MARC Ratings Bhd.

Hasil daripada terbitan sukuk itu akan digunakan bagi keperluan modal kerja, perbelanjaan modal dan pelaburan patuh Syariah Eco World Development dan anak syarikatnya dan atau mana-mana usaha sama yang ia terlibat.

Hasil itu juga akan digunakan bagi tujuan korporat am syarikat dan atau mana-mana usaha sama yang  Eco World Development terlibat dan atau bagi pembiayaan semula mana-mana pembiayaan sedia ada atau obligasi pembiayaan patuh Syariah pada masa depan dan atau mana-mana usaha sama.

CIMB Investment Bank Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat prinsipal bersama dan Penyusun Utama Bersama bagi program sukuk wakalah manakala CIMB Investment Bank Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd adalah pengurus utama bersama bagi terbitan sukuk itu.-BERNAMA

Loading...
Terkini