comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Angkasa sasar buka 200 cawangan Coop Hardware menjelang 2025

SHAH ALAM: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) menyasarkan untuk membuka 200 cawangan koperasi pembekal bahan binaan (Coop Hardware) di seluruh negara menjelang 2025.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, inisiatif tersebut adalah bertujuan bagi menawarkan bahan asas pembinaan perumahan dengan harga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran sedia ada.

“Angkasa menjadi platform kepada koperasi berkenaan membeli bahan secara pukal dengan pembekal luar negara sekali gus dapat menjualnya dengan harga murah dan cawangan tersebut akan dibangunkan menerusi konsortium khas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Perumahan Awam Malaysia Bhd (Kopama) dan syarikat Chester Denai Alam Sdn Bhd di sini hari ini.

Katanya, setakat ini 20 cawangan Coophardware telah dibuka di seluruh negara dan inisiatif tersebut telah berupaya mengurangkan kos bahan binaan yang kian meningkat sekali gus membantu menyediakan rumah atau permis perniagaan kepada ahli koperasi pada harga lebih mampu milik.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata kerjasama itu bagi memberi peluang kepada koperasi lain menjana pendapatan dengan hasil penjualan rumah yang dibina oleh Kopama.

“Ini satu kaedah terbaik dalam usaha memberi peluang kepada koperasi yang tidak ada aktiviti perniagaan selain memberi mereka pendedahan dalam industri perumahan,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini