comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

APEC tingkat usaha pulih perjalanan rentas sempadan

Perjalanan dan pelancongan menjadi kunci kepada pertumbuhan ekonomi wilayah APEC – Foto AP

BANGKOK: Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) sedang meningkatkan usaha menggiatkan semula perjalanan rentas sempadan dengan menangani ketidaktentuan yang dihadapi pelancong di saat pandemik COVID-19 memasuki tahun ketiga.

Melalui laporan, ‘COVID-19 and Cross-Border Mobility in the APEC Region: Addressing Uncertainties at the Border’, Pasukan Petugas Laluan Selamat APEC mengemukakan cadangan untuk memacu pergerakan pelancong di rantau ini, meneliti isu sempadan yang boleh ditangani demi memudahkan perjalanan dan pelancongan di rantau ini.

Laporan yang dibangunkan Unit Sokongan Dasar APEC mendedahkan bahawa pandemik COVID-19 telah memberi kesan besar terhadap perjalanan rentas sempadan di seluruh dunia.

“Rantau APEC melaksanakan beberapa sekatan perjalanan rentas sempadan yang paling ketat di dunia, dan kesan daripada langkah-langkah ini adalah besar dan berlarutan. Kajian Unit Sokongan Dasar APEC menganggarkan kerugian rentas sempadan mencecah AS$1.2 trilion pada 2020.

“Meskipun perjalanan antarabangsa mula pulih sejak 2020, setakat April 2022 jumlah ketibaan pelawat antarabangsa di APEC hanya satu pertiga daripada bilangan pelancong pada Januari 2020. Sekatan perjalanan rentas sempadan telah memberi kesan buruk terhadap perjalanan dan pelancongan di seluruh dunia, terutama di wilayah APEC.

“Ketibaan pelancong antarabangsa ke ekonomi APEC turun 79.1 peratus pada 2020 berbanding 2019, lebih tinggi berbanding penguncupan 69.8 peratus yang dicatatkan di seluruh dunia.

“Walaupun seluruh dunia menyaksikan peningkatan sebanyak 18.4 peratus membabitkan jumlah ketibaan pelancong pada 2020 dan 2021, ketibaan di rantau APEC terus menurun sebanyak 28.3 peratus dalam tempoh yang sama,” menurut laporan itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini