comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

ASB 3 Didik isytihar agihan pendapatan 5.25 sen seunit

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM405.65 juta, bersamaan 5.25 sen seunit kepada 325,026 pemegang unit dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu dalam satu kenyataan berkata, pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.74 peratus sebanyak 2.51 mata asas.

Ia berkata, sehingga 25 Jun 2024, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM437.76 juta.

“Pendapatan dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar, dengan ekuiti domestik menyumbang 11.8 peratus daripada jumlah pulangan dan ekuiti antarabangsa menyumbang sebanyak 3.6 peratus,” katanya.

ASNB berkata, kejayaan dana dalam menjana pendapatan dan mencapai prestasi teguh dipacu oleh prestasi pasaran ekuiti yang positif di pasaran utama, termasuk Malaysia, dan lonjakan global dalam kecerdasan buatan (AI) generatif.

“Melalui penilaian yang konsisten ke atas metrik prestasi dan pengawasan risiko yang proaktif, dana ini telah secara konsisten memberikan pulangan yang menarik dan kompetitif kepada pelaburnya,” katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana terbabit.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2024.

Urus niaga ASB 3 Didik di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 28 hingga 30 Jun 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh melakukan urus niaga semula di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, dan di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 Julai ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini