comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Aset mata wang asing korporat Malaysia hampir cecah RM900 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nilai aset mata wang asing yang dimiliki syarikat korporat tempatan berada pada paras AS$190 bilion (RM896 bilion) ketika ini, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar.

Beliau berkata, dengan aset mata wang asing itu membolehkan mereka menggunakannya untuk memenuhi obligasi kewangan luaran mereka.

“Korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mempunyai banyak pelaburan di luar negara. Kebanyakan pelaburan menjana keuntungan.

“Justeru, kami menggalakkan mereka untuk membawa balik keuntungan dan pendapatan mereka secara konsisten dan tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi panel ‘Weathering Global Challenges: Buffers Against External Vulnerabilities’ di Sasana Symposium 2024 (SS2024) anjuran BNM di sini, hari ini.

Marzunisham berkata, BNM akan terus memberi perhatian dalam memastikan persekitaran monetari tempatan kekal kondusif dan ekonomi terus berkembang.

Beliau berkata, bank pusat akan memastikan kemampanan monetari dengan memastikan inflasi kekal rendah dan mempunyai ruang monetari untuk bertindak balas sebarang kejutan pada masa depan.

Katanya, BNM juga akan memastikan kestabilan kewangan dengan aktiviti pinjaman berterusan dalam memenuhi keperluan ekonomi.

Tambahnya, bank pusat itu juga akan terus memastikan pasaran tukaran asing berjalan dengan teratur dan meneruskan rejim tukaran asing fleksibel yang bertindak sebagai penyerap kejutan dalam berdepan kejutan luaran.

“Kami juga bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan agenda pembaharuan dilaksanakan. Bagi mempunyai pertumbuhan mampan, kita perlu teruskan dengan pembaharuan dan laksana dasar yang menggalakkan pelaburan bagi meningkatkan rantaian nilai, penggunaan teknologi dan menyediakan tenaga kerja untuk mendapat manfaat ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini