comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bank digital tidak jejaskan kedudukan bank konvensional

Foto hiasan

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Bank digital tidak menjejaskan kedudukan bank konvensional di negara ini, malah ia membuka pasaran baharu yang menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB Holdings Bhd (AmBank), Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, ini susulan pelanggan sedia ada bank konvensional telah adaptasi digital, dengan 90 peratus pengguna runcit telah beralih kepada transaksi dalam talian.

“Bank menawarkan pinjaman peribadi seperti 10 tahun, lima tahun tetapi sekarang pelanggan mahu pinjaman singkat untuk satu minggu, satu bulan. Kami tiada perkhidmatan seperti itu. Jika kamu lihat pemain perbankan baharu, ini adalah ruang yang mereka sertai kerana mereka tidak mampu untuk bersaing dengan perkhidmatan besar kerana kami ada kemahiran, pendedahan dan perbezaannya mereka (bank digital) menawarkan jumlah yang lebih kecil dan tempoh yang lebih singkat,” katanya kepada pemberita pada sesi sidang media AmDigital Day di sini hari ini.

Bank konvensional bersaing untuk menarik 30 peratus daripada jangkaan keseluruhan 25 juta pengguna bagi pinjaman rumah, sewa-beli dan kad kredit.

Manakala 70 peratus pengguna mempunyai akaun tanpa berdaftar dengan sebarang perkhidmatan.

Untuk itu, ia menyediakan ruang kepada bank digital untuk menawarkan perkhidmatan berbeza seperti pinjaman jangka pendek.

Pada 29 April lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan mengumumkan lima pemohon yang berjaya menerima lesen bank digital.

Tiga pemohon yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) ialah konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd; konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; dan konsortium yang diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

Manakala dua pemohon di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) ialah konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc; serta konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd.

Loading...
Terkini