comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bank Negara cecah 64, tekad membangunkan Malaysia yang lebih baik

Bank Negara Malaysia (BNM)

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyambut ulang tahun yang ke-64 hari ini dengan komited untuk membina Malaysia yang lebih baik bagi generasi akan datang.

Pada 1955, Bank Dunia menerbitkan laporan yang mengesyorkan penubuhan bank pusat di Tanah Melayu, yang mana kemudiannya, Bank Negara Tanah Melayu dibuka untuk perniagaan pada 26 Jan 1959.

Bursa Saham Malaya kemudiannya ditubuhkan pada Mac 1960, dan Bank Negara Tanah Melayu menukar namanya kepada Bank Negara Malaysia menjelang 1963.

Di muzium maya BNM, yang mempamerkan perjalanan selama enam dekad sejak badan berkanun itu mula beroperasi, awam boleh menyaksikan mesin yang digunakan bagi mencetak Wang Pencerobohan Jepun (JIM) atau Duit Pisang dari 1942-1945 sebelum Jepun menyerah kalah kepada British.

Turut dipamerkan di muzium maya itu ialah biodata gabenor pertama bank itu, Tan Sri William Howard Wilcock, sehingga gabenor kesembilan BNM iaitu Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, penubuhan pejabat gabenor kedua bank, Tun Ismail Mohamed Ali dan pakaian seragam kakitangan bank pusat tersebut dari 1959 hingga awal 1960-an.

Untuk lawatan yang lebih interaktif, lawati muzium maya BNM di https://museum.bnm.gov.my/bnm60th/360vr/. – BERNAMA

Loading...
Terkini