comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bank pelaburan kekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor minyak dan gas berasaskan harga tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Penyelidikan Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor minyak dan gas, berasaskan harga minyak yang tinggi, pengurangan pengeluaran berterusan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+ ), peningkatan ketegangan geopolitik dan pertumbuhan pengeluaran minyak yang lembap.

Menerusi nota penyelidikan pada Selasa, bank pelaburan itu menjelaskan perkara tersebut memberi petanda baik kepada peserta perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan dengan harga minyak berlegar melebihi US$80 setong, memandangkan aktiviti huluan yang memberangsangkan di seluruh dunia ditambah dengan perbelanjaan modal Petronas memacu untuk mengekalkan pengeluaran tempatan.

“Perbelanjaan modal Petronas pada suku pertama 2024 berjumlah RM10.7 bilion berbanding RM10.4 bilion pada suku pertama 2023, yang kami percaya akan meningkat secara beransur-ansur pada beberapa suku akan datang kepada RM60 bilion menjelang akhir 2024,” tambahnya.

HLIB juga telah mengekalkan unjuran minyak mentah Brent pada US$85 setong bagi 2024 dan 2025 dengan risiko negatif termasuk pengaktifan semula kapasiti ganti oleh OPEC dalam jangka masa pendek, pertumbuhan lebih tinggi daripada jangkaan yang dicatatkan pengeluar bukan OPEC, peningkatan permintaan minyak yang lebih perlahan berbanding jangkaan dari China dan India selain keredaan konflik geopolitik.

Penyelidikan oleh Kenanga Investment Bank Bhd turut mengekalkan saranan ‘overweight’ untuk sektor tersebut. Ia terus positif terhadap penyedia perkhidmatan huluan susulan jangkaan peningkatan perbelanjaan modal pada 2024 dengan ketersediaan kontraktor dan kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang terhad.

“Selagi harga minyak mentah kekal melebihi US$70 setong, kami yakin Petronas akan meningkatkan perbelanjaan modalnya, terutama dalam segmen huluan untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah dan gas asli serta mencegah pengurangan pengeluaran asli,” katanya.

Pilihan utama penyelidikan Kenanga ialah Dialog untuk kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan serta pemulihannya dalam perniagaan terminal tangki; Yinson kerana nilai perolehan kontrak penyimpanan dan pengeluaran terapung yang kukuh; serta Keyfield sebagai proksi kepada kitaran meningkat yang dijangkakan dalam pasaran OSV tempatan.

Sementara itu, Maybank Investment Bank berpendapat perbelanjaan modal domestik Petronas berkemungkinan lebih tinggi pada 2024, memandangkan komitmen dividen yang lebih rendah sebanyak RM32 bilion untuk 2024, dan ditambah dengan jangkaan purata harga minyak mentah Brent yang stabil bagi tahun ini.

Setakat akhir Mac 2024, Petronas merekodkan kedudukan tunai bersih RM98.2 bilion berbanding RM96.9 bilion pada akhir Disember 2023.

BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini