comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bank Rakyat umum dividen 15%, kekal prestasi kadar dua digit 

Oleh Suzila Idayu Yaacob

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, membabitkan pembayaran RM426.77 juta. Kumpulan itu masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen dua digit untuk tempoh lebih 30 tahun.

Pembayaran dividen kepada 799, 511 anggotanya akan dilakukan hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata pencapaian itu adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat untuk mencapai mandat yang dipertanggungjawab bagi memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya

“Selain itu, Kumpulan Bank Rakyat turut meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM33.57 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM16.78 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

“Ini menjadikan jumlah sumbangan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM50.35 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis mengumumkan dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Kumpulan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak RM1.70 bilion berbanding RM1.63 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, meskipun ketidaktentuan ekonomi susulan pasca pandemik.

“Prestasi kewangan tahun 2022 ini turut didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan Kumpulan, mencerminkan kekuatan dan daya tahan yang telah dibina oleh kumpulan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

“Pencapaian ini turut didorong oleh pendapatan operasi kumpulan yang meningkat sebanyak 3.42 peratus kepada RM5.90 bilion berbanding RM5.71 bilion sebelum ini didorong oleh pertumbuhan pembiayaan yang kukuh dalam segmen perbankan runcit dan perniagaan, serta dibantu oleh pergerakan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Kumpulan turut berjaya mempamerkan disiplin dan pengurusan kos yang efisien, dicerminkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 39.79 peratus, iaitu lebih rendah daripada purata industri, 44.20 peratus,” katanya.

Ujar beliau, jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 1.98 peratus atau RM2.27 bilion kepada RM117.33 bilion berbanding RM115.06 bilion pada tahun sebelumnya.

Loading...
Terkini