comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Battersea Power Station dapat pengiktirafan National Geographic

Battersea Power Station telah diubah menjadi hab untuk membeli-belah, makanan serta hiburan.

LONDON: Battersea Power Station dinamakan sebagai salah satu daripada 20 ‘Tempat Budaya Terbaik’ di dunia untuk pengalaman perjalanan yang menarik, bermakna dan unik oleh siri ‘Best of The World’ National Geographic 2024.

Senarai ‘Best of The World’ itu dicipta, diselidik, dilapor dan ditulis dengan kerjasama daripada pasukan pengarang antarabangsa National Geographic, yang berkhidmat untuk jutaan pembaca melalui majalah dan laman web di seluruh dunia.

Battersea Power Station adalah satu-satunya destinasi di United Kingdom (UK) yang dipaparkan dalam senarai itu, apabila stesen janakuasa arang batu di Central London itu dipulihkan dan diubah menjadi destinasi penggunaan bercampur oleh konsortium syarikat yang terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property Bhd, S P Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia dibuka semula pada Oktober 2022 selepas hampir 40 tahun berhenti beroperasi dan lebih 11.2 juta orang ramai melawat Battersea Power Station pada 2023 untuk menerokai mercu tanda bersejarah yang unik serta mengunjungi lebih 140 kedai, restoran, kafe dan pengalaman riadah yang disediakan.

Battersea telah disenaraikan sebagai pembangunan Gred II*, yang kini merangkumi 565,000 kaki persegi ruang pejabat, termasuk ibu pejabat UK baharu untuk Apple, bersama-sama dengan 254 pangsapuri.

Mercu tanda ikonik itu terletak di tengah-tengah kejiranan tepi sungai seluas 42 ekar baharu dan apabila dibangunkan sepenuhnya, kawasan ini akan mempunyai lebih 4,000 rumah baharu, 3.5 juta kaki persegi ruang komersial bercampur, 19 ekar ruang awam dan 20,000 pekerjaan.

Sebagai sebahagian daripada rancangan keseluruhan, sambungan baharu kepada laluan utara bawah tanah London mula beroperasi pada September 2021 di mana sambungan ini membolehkan Battersea Power Station mempunyai stesen ‘tube’ Zon 1 sendiri, menjadikan kawasan kejiranan hanya 15 minit perjalanan dari bahagian barat dan bandar.

Pengerusi Battersea Project Holding Company, Tan Sri Jagan Sabapathy, berkata bagi memulihkan Battersea Power Station, beliau berharap untuk sentiasa mencipta destinasi bertaraf dunia yang membawa mercu tanda ikonik untuk kegunaan awam buat pertama kali dalam sejarah yang boleh dinikmati oleh komuniti tempatan, warga London serta pelawat dari seluruh dunia.

“Untuk menerima pengiktirafan oleh National Geographic dan tersenarai dalam ‘Best of The World’, serta menyaksikan visi kami menjadi kenyataan, ia merupakan kebanggaan yang amat besar bagi pemegang saham dan semua yang terbabit dalam projek khas ini.

“Kami berharap dapat mengalu-alukan jutaan lagi pelawat ke Battersea Power Station pada tahun ini dan seterusnya, kerana kawasan kejiranan ini akan terus berkembang dengan pengalaman baharu, pembukaan kedai dan acara untuk dinikmati semua orang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini