comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Belanjawan 2023 yang disemak semula akan beri kejelasan mengenai penyatuan fiskal

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi berpendapat semakan semula belanjawan 2023 perlu memberikan lebih kejelasan mengenai proses penyatuan fiskal negara susulan pembaharuan dasar cukai serta subsidi yang diberikan kepada rakyat dan pelan kerajaan mengenai pelaksanaannya.

Ketua Ekonomi dan Penyelidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata belanjawan itu yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini, perlu terus menfokus kepada bidang utama iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur serta pada masa sama memastikan ianya mesra perniagaan.

“Peruntukan perlu dibuat agar kita boleh berbelanja ke arah pembinaan kapasiti untuk jangka masa panjang…tetapi memandangkan ruang fiskal yang terhad, kerajaan perlu menilai semula strategi perbelanjaannya dan pada masa yang sama masih merangsang aktiviti ekonomi bagi rakyat tempatan termasuk asing,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, hutang kerajaan yang secara keseluruhannya adalah dalam denominasi ringgit, membentangkan peluang yang rendah kepada kerajaan untuk mungkir hutang mata wang sendiri memandangkan ianya agak fleksibel bagi menaikkan hutang.

Katanya, di samping itu, Malaysia mempunyai institusi yang besar seperti dana pencen serta bank-bank, yang mana, institusi ini akan terus melanggan sekuriti kerajaan yang dianggap sangat cair dan selamat daripada segi kredit.

Bajet 2023 terdahulu telah dibentangkan pada 7 Okt lepas oleh menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dengan jumlah peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.

“Dengan cerminan bahawa hutang adalah tinggi, mungkin kerajaan memberi isyarat peruntukan Bajet 2023 yang lebih rendah tetapi pada tahap defisit, trajektori akan menurun dan itu akan menjadi permulaan yang baik.

“Apabila nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus merosot, tahap hutang anda akan menyusul,” katanya sambil menambah dua belanjawan sebelum ini yang diumumkan adalah bersifat bajet pengembangan.

Afzanizam ketika mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan meningkatkan pendapatannya, menjelaskan walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terus menjadi topik perbincangan umum, ia bukan masa yang sesuai untuk mengenakan kembali cukai itu.

“Tetapi jika ianya benar mahu dilaksanakan, kajian semula perlu dibuat ke atas cukai itu dan melihat masalah-masalah yang dikaitkan dengan GST supaya apabila mereka mahu mengenakannya kembali, perniagaan akan lebih mudah mematuhi rejim cukai berkenaan.

“Sejak dari dahulu kita dapat lihat kutipan GST adalah sangat memberangsangkan dan ia telah menunjukkan hasil yang baik tetapi ada juga isu berkaitan dengan cabaran seperti tuntutan kredit cukai input, sesetengah GST yang berkadar sifar, ada yang berkadar standard dan dikecualikan GST sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat perniagaan.

“Jadi dengan andaian bahawa GST mahu dilaksanakan semula pada masa akan datang, mungkin kita boleh mulakan pada paras yang agak rendah iaitu dalam lingkungan tiga hingga empat peratus dan ia akan diselaraskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan peruntukan di bawah Belanjawan 2023 ‘dikurangkan’ tanpa mengabaikan program pembangunan negara.

“Pengurangan akan dibuat di mana mungkin dan pengurangan ini tidak akan memberi tekanan kepada program pembangunan negara,” kata Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet.

Bulan lepas, Anwar menjelaskan hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah RM1.5 trilion, lebih 80 peratus daripada KDNK negara.

Beliau juga berkata defisit bajet akan melebar lebih jauh daripada anggaran awal iaitu 5.8 peratus berbanding KDNK bagi 2022.

BERNAMA

Loading...
Terkini