comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Belanjawan 2025 bukan ‘hukuman’ kepada golongan mahakaya, T15

Kamarulzaidi (dua dari kanan) bersama ahli panel Podcast Borak Hari ini, Nazri Khan (dua dari kiri), Mohd Sedek (kiri) dan hos, Shahrizan (kanan) – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 bersifat propertumbuhan tidak hanya tertumpu kepada kelompok 85 peratus kumpulan berpendapatan terendah.

Ia juga bukan untuk memberikan tekanan kepada kelompok 15 peratus rakyat berpendapatan tertinggi yang disebut sebagai golongan mahakaya atau T15.

Menurut Pengarang Berita Ekonomi BH, Kamarulzaidi Kamis, belanjawan terbesar dalam sejarah itu sebaliknya mempunyai pelbagai inisiatif yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat di negara ini, tanpa mengira status pendapatan.

Beliau berkata, insiatif-inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

“Apa yang diperkatakan di luar sana mengenai tekanan kepada kelompok 15 peratus sebenarnya tidak betul.

“Jika ekonomi negara meningkat dan mampu menjadi negara berpendapatan tinggi, kesan limpahannya adalah besar termasuk juga kepada kelompok 15 peratus yang akan bertambah kaya.

“Apa yang diperkatakan dalam Belanjawan 2025 lalu adalah kelompok 85 peratus tidak akan menerima kesan hasil rasionalisasi subsidi RON 95,” katanya ketika menjadi panel pada Podcast Borak Harini bertajuk Belanjawan Manfaat Rakyat yang disiarkan di media sosial BH, hari ini.

Podcast Borak Harini itu turut dibarisi Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Nazri Khan dan Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan dengan dihoskan Pengarang Berita Ekonomi BH, Shahrizan Salian.

Nazri Khan dalam pada itu menyarankan Malaysia untuk mengambil peluang sebagai Pengerusi ASEAN untuk membawa kembali pekerja mahir berkemahiran tinggi serta hartawan Malaysia dari luar negara.

“Kedua-dua kategori itu adalah penting bagi Malaysia untuk meningkatkan kedudukan sebagai negara berpendapatan tinggi selain mengukuhkan asas pekerjaan.

“Malaysia perlu ikut langkah beberapa negara lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dapat menarik golongan kaya ke negara itu.

“Dengan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN, ia boleh dilaksanakan dengan memberi peluang perniagaan rentas sempadan. Pasaran saham kita juga boleh jalin kerjasama dengan pasaran saham luar dalam memperkenalkan pasaran syariah dan sebagainya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini