Tumpuan :
Detik Niaga

Berjaya Food buka kafe Paris Baguette di Filipina

Paris Baguette menjadi peneraju dalam industri bakeri Korea Selatan – Foto: Paris Baguette Malaysia

KUALA LUMPUR: Paris Baguette Philippines Inc memeterai perjanjian francais induk dengan Berjaya Food (International) Sdn Bhd, Middle Trade Inc dan Paris Baguette Singapore bagi memperkenalkan kafe bakeri dari Korea Selatan itu di Filipina dengan kedai pertama dijangka dibuka pada suku keempat 2023.

Di bawah perjanjian itu, Middle Trade Inc dan Berjaya Food International yang juga anak syarikat Berjaya Food Bhd akan menjadi pengendali utama kedai Paris Baguette di Filipina di bawah Paris Baguette Philippines Inc.

Perkongsian terbabit menyasarkan untuk mengembangkan kehadiran jenama itu dengan mewujudkan lebih banyak kedai di bandar utama di seluruh Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Bhd, Datuk Sydney Quays, berkata syarikat berbangga mengumumkan perkongsian antara Berjaya Food International dan Middle Trade Inc untuk menubuhkan Paris Baguette Philippines Inc.

“Perkembangan ini berlaku lebih enam bulan selepas kejayaan pengembangan di Malaysia,yang kami harapkan akan dapat dicontohi di Filipina,” katanya dalam satu kenyataan.

Quays berkata, Berjaya Food International, yang juga francaisor induk restoran Kenny Rogers Roasters, sudah lama melihat potensi kukuh pasaran Filipina dengan pemegang francais tempatan Middle Trade Inc.

“Kemasukan Paris Baguette di Filipina menandakan satu peristiwa penting dalam pengembangan berterusan kami di Wilayah ASEAN. Kami di Berjaya Food komited untuk menyampaikan konsep makanan dan restoran bertaraf dunia kepada pelanggan Asia.

“Matlamat kami adalah untuk membina aspirasi untuk menjadi kumpulan makanan global, pelbagai dan holistik,” katanya.

Jenama bakeri premium Paris Baguette menjadi peneraju dalam industri bakeri Korea Selatan dengan memperkenalkan dan membangunkan budaya bakeri gaya Eropah buat kali pertama di negara itu.

Ia juga adalah rangkaian kedai roti nombor satu di Korea Selatan dengan lebih 3,500 kedai dan lebih daripada 480 lokasi di seluruh Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada, China, Perancis, Vietnam, Indonesia, Kemboja, Malaysia dan Singapura.

Loading...
Terkini