comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bilangan penganggur di Malaysia turun kepada 566,400 orang

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Bilangan penganggur di negara ini terus menurun pada April 2024 kepada 566,400 orang untuk merekodkan kadar pengangguran 3.3 peratus, demikian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran pekerjaan pada bulan April kekal stabil, mencerminkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menggalakkan.

Oleh itu, beliau berkata, bilangan tenaga kerja pada April 2024 meningkat sebanyak 0.1 peratus, mencatatkan 17.12 juta orang berbanding 17.1 juta orang pada Mac 2024, dengan kadar penyertaan tenaga kerja kekal pada 70.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja pada April 2024 terus merekodkan peningkatan, dengan pertumbuhan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.56 juta orang berbanding Mac 2024 sebanyak 16.53 juta orang, manakala bilangan penganggur pada bulan itu mencatatkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.04 peratus kepada 566,400 orang, berbanding 566,600 orang pada Mac 2024.

“Kategori pekerja merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada April 2024. Kumpulan ini meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.43 juta orang berbanding 12.42 juta orang pada Mac 2024.

“Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri terus berada pada trend menaik, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus kepada 3.04 juta orang berbanding 3.03 juta orang pada Mac 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sektor perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.

Trend yang sama dalam bilangan penduduk bekerja juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta sektor pertanian pada bulan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini