comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

BIMB unjur KDNK suku ketiga Malaysia tumbuh 13.3%

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia diunjur mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 13.3 peratus dalam suku ketiga tahun ini berbanding 8.9 peratus dalam suku sebelummya, kata Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB).

Walaupun prestasi tersebut lebih baik daripada jangkaan terutamanya oleh kesan asas yang rendah pada tahun lepas, BIMB berkata pertumbuhan tersebut juga didorong oleh asas suku-ke-suku dalam senario pembukaan semula aktiviti-aktiviti ekonomi.

“Kami menjangkakan satu lagi pertumbuhan dua angka dalam perbelanjaan swasta iaitu 19.5 peratus bagi suku ketiga berbanding 18.8 peratus dalam suku sebelumnya berikutan pemulihan keadaan perniagaan serta sentimen pengguna.

“Perbelanjaan secara berhati-hati yang sihat itu adalah susulan campur tangan fiskal bagi memastikan inflasi masih terkawal ketika persekitaran monetari domestik kekal akomodatif,” kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, BIMB mengunjurkan perbelanjaan swasta dan perdagangan luar akan menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam suku ketiga.

Walaupun terdapat kekangan bekalan yang berterusan, BIMB menyifatkan pemulihan pasaran tenaga kerja sebagai menggalakkan yang terbukti menerusi penurunan kadar pengangguran serta tuntutan berkaitan. — BERNAMA

Loading...
Terkini