comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

BNM buka lima lesen pengendali insurans, takaful digital

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempelawa permohonan lesen penanggung insurans dan pengendali takaful digital (DITO) pada 2023 dengan sehingga lima lesen akan diberikan kepada pemohon yang memenuhi semua keperluan yang ditetapkan.

Bank pusat itu hari ini mengeluarkan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk DITO bagi mendapatkan maklum balas secara bertulis susulan pengeluaran Kertas Perbincangan pada awal 2022.

Ia berkata, maklum balas bagi draf dedahan itu boleh termasuk penjelasan atau keterangan serta cadangan alternatif dan bank pusat mengalu-alukan maklum balas secara bertulis yang disokong oleh rasional yang jelas dan perlu dihantar sebelum 28 April 2023 melalui [email protected].

Katanya, draf itu menggariskan rangka kerja yang dicadangkan untuk memudahkan penyertaan DITO Malaysia yang boleh menawarkan cadangan nilai yang kukuh bagi meningkatkan daya tahan kewangan pengguna yang tidak mendapat perlindungan insurans/takaful dan pengguna yang kurang mendapat perlindungan insurans/takaful pada masa ini.

Jelasnya, ia juga bagi menyediakan produk yang inovatif bagi memenuhi keperluan perlindungan yang pelbagai dan memberikan pengalaman pengguna yang lebih mudah dan lancar kepada pengguna dengan penjimatan kos yang lebih besar.

“BNM berhasrat untuk memuktamadkan dokumen dasar dan mempelawa permohonan lesen DITO pada 2023. Sebanyak sehingga lima lesen akan diberikan kepada pemohon yang memenuhi semua keperluan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

BNM berkata, DITO dijangka menjalankan perniagaan insurans atau takaful secara digital atau elektronik sepenuhnya atau hampir sepenuhnya.

Ia berkata, hal itu seterusnya dijangka menggalakkan model perniagaan dan operasi baharu bagi memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai melalui penawaran pilihan produk yang lebih banyak serta kualiti penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap.

Katanya, bagi memajukan inovasi itu, BNM akan memastikan tumpuan yang kukuh terus diberikan pada pengurusan risiko yang mantap dan perlindungan kepentingan pengguna.

Draf dedahan DITO menggariskan prosedur permohonan dan pelesenan serta keperluan khusus berkaitan dengan model perniagaan dan saluran pengedaran yang layak untuk DITO.

Langkah itu bertujuan untuk menggalakkan operasi perniagaan yang mampan dan pada masa yang sama memberikan nilai kepada pengguna.

DITO perlu mematuhi keperluan sedia ada di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Keperluan itu termasuk piawaian mengenai kehematan, amalan perniagaan dan langkah pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.  — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini