comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

BNM cadang terap Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan ekonomi mampan

Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.- Foto fail

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) cadang untuk menerapkan Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan struktur yang mampan serta memajukan inovasi dalam tijari atau perdagangan dan wakaf, sebagai pemangkin model sosioekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata integrasi global juga perlu diperkukuh untuk mendorong pembangunan ekonomi bersama dan kemakmuran yang dikongsi
bersama dalam kalangan negara Islam, termasuk melalui peningkatan perdagangan antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Kami mengalu-alukan usaha-usaha yang akan menyokong cadangan-cadangan ini. Hal ini termasuk mengadakan libat urus yang lebih mendalam dan dialog bersasar dengan organisasi pelbagai hala dan pelabur serta inisiatif untuk mempertingkatkan persekitaran kawal selia bagi memudahkan penerapan kontrak Syariah yang lebih pelbagai,” katanya dalam ucapan Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) hari ini.

Tambah beliau, perdagangan global dijangka semakin kukuh, inflasi semakin berkurang dan keadaan pasaran pekerja yang positif terus menyokong pertumbuhan global.

Bagaimanapun, terdapat risiko pertumbuhan yang lebih perlahan apabila ancaman ketegangan geopolitik yang meruncing. Ini selain inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dijangka menyumbang kepada pasaran kewangan global yan tidak menentu.

“Krisis iklim dan kemerosotan alam sekitar juga semakin ketara. Keadaan ini bukan hanya mengganggu-gugat dunia kita secara fizikal, malah turut mengancam nyawa dan mata pencarian orang ramai.

“Terdapat anggaran jika tiada tindakan mitigasi yang diambil, perubahan iklim boleh mengurangkan KDNK global hingga 18 peratus menjelang tahun 2050. Rintangan ini pasti akan memburukkan lagi ketidaksamaan ekonomi, melebarkan lagi jurang ekonomi bukan sahaja dalam sesebuah negara malah
antara pelbagai negara,” katanya.

Untuk itu, prinsip ekonomi dan kewangan Islam berpotensi memacu pertumbuhan berasaskan nilai, melebihi matlamat keuntungan semata-mata iaitu pertumbuhan yang seimbang, progresif, mampan dan inklusif.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini