comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

BNM kekalkan OPR pada 3.0 peratus

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Keputusan mengekalkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit itu adalah buat kali keenam berturut-turut sejak Julai tahun lalu dan sejajar dengan jangkaan pasaran.

“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan,” kata BNM dalam Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan hari ini.

BNM berkata, MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Katanya, MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

Mengulas prestasi ekonomi negara, BNM berkata, penunjuk terkini mencatatkan aktiviti ekonomi yang lebih giat pada suku pertama 2024 didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan eksport yang positif.

Pada masa hadapan, ia berkata, momentum pemulihan eksport dijangka bertambah baik, disokong oleh kitaran menaik teknologi global serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh.

“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan,” katanya.

BNM berkata, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini