comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bon kerajaan tarik pelaburan asing RM4 bilion sehingga Mei lalu – Penganalisis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Aliran masuk asing bersih ke dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dilihat positif meskipun perbezaan negatif antara hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan MGS tempatan sejak setahun lalu, kata penganalisis.

Penganalisis CIMB Securities, Rachel Huang, berkata bon MGS merekodkan aliran masuk bersih RM4 bilion dari Januari hingga Mei 2024.

Beliau berkata, pegangan asing dalam MGS masih ketara dengan sebanyak 33 peratus daripada jumlah MGS pada Mei 2024 walaupun tempoh perbezaan hasil kadar negatif yang luar biasa berpanjangan.

“Aliran masuk bersih baru-baru ini adalah positif, dengan mengambil kira tempoh perbezaan kadar negatif yang berpanjangan antara MGS tempatan dan hasil Perbendaharaan AS sejak setahun lalu dari Mei 2023.

“Purata sebaran ialah 165 mata asas positif antara MGS tempatan 10 tahun dan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun sebelum 2022, tetapi ini telah jatuh kepada purata sebaran negatif 37 mata asas sejak Mei 2023, apabila bank pusat tempatan menghentikan kenaikan kadar,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Huang berkata, pekali korelasi antara hasil MGS 10 tahun dan Perbendaharaan AS 10 tahun masih kukuh pada 0.8604, berdasarkan hanya tempoh setahun apabila sebaran negatif bermula sejak Mei 2023.

Beliau berkata, ia bermakna hasil MGS 10 tahun masih menjejaki hasil Perbendaharaan AS 10 tahun, walaupun diakui kini terdapat delta yang lebih rendah untuk hasil MGS 10 tahun.

Katanya, pekali korelasi untuk satu tahun lalu sebanyak 0.8604 adalah sama dengan pekali korelasi 0.850 dari Januari 2020 hingga Mei 2022, sebelum kenaikan kadar luaran.

“Dengan korelasi kukuh yang berterusan, kami kekal optimistik terhadap potensi keuntungan bon daripada perniagaan bukan faedah.

“Dengan aliran masuk MGS asing bersih, jumlah deposit kurang pinjaman kekal mencukupi pada RM343 bilion pada April 2024, menunjukkan kos dana simpanan tetap yang lebih baik ke depan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini