
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan sentimen berhati-hati selepas Wall Street mempamer prestasi semalaman yang lemah pada Jumaat menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai hala tuju kadar faedah minggu ini, kata seorang penganalisis.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.49 mata kepada 1,454.54 daripada 1,459.03 penutup Jumaat.
Indeks utama dibuka pada paras 1,456.96, susut 2.07 mata.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun sudah dijangkakan Rizab Persekutuan akan mengekalkan kadar faedah buat masa ini, angka inflasi utama Amerika Syarikat baru-baru ini masih menunjukkan sedikit pengembangan dan berkemungkinan besar kadar faedah akan kekal tinggi untuk masa yang lebih lama.
Pada urus niaga Jumaat, Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) kehilangan 289 mata manakala Nasdaq merosot 218 mata apabila hasil 10 tahun AS meningkat lebih tinggi kepada 4.34 peratus.
“Di pasaran tempatan, FBM KLCI akhirnya menguji paras 1,460 atau paras tertinggi enam bulan selepas dirangsang aktiviti pengumpulan dana asing yang berterusan.
“Kami percaya tahap ini boleh dicecah dalam masa terdekat kerana penilaian saham mewah tempatan masih kekal rendah,” katanya kepada Bernama.
Walaupun menghadapi tekanan dari Wall Street, Thong menjangkakan indeks utama akan meneruskan trajektori menaiknya dan berlegar antara julat 1,460 dan 1,470 hari ini.
BERNAMA