comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia akhiri penyusutan, ditutup tinggi menjelang PRU-15 

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri penyusutan selama tiga hari berturut-turut apabila ditutup lebih tinggi pada hari ini, didorong oleh belian saat-saat akhir ketika pelabur mengambil kedudukan masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.94 mata atau 0.07 peratus kepada 1,449.32 — paras tertinggi harian berbanding 1,448.38, semalam.

Indeks utama itu dibuka susut 1.82 mata kepada 1,446.56 yang juga paras terendah harian pada  1,441.57 sesi tengah hari.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 521 berbanding 313 manakala 405 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,093 tidak diniagakan dan 47 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.63 bilion unit bernilai RM1.85 bilion berbanding 2.32 bilion unit berbanding RM1.71 bilion pada Rabu.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati dalam persekitaran tidak menentu menjelang PRU15 manakala prestasi negatif di rantau tersebut memberi impak terhadap sentimen pelabur.

“Indeks-indeks utama serantau kebanyakannya mencatat prestasi negatif hari ini, menjejaki petunjuk semalaman Wall Street. Pelabur juga pada masa sama sedang dalam proses memberi reaksi terhadap data-data ekonomi Amerika Syarikat yang bercampur-campur.

“Dalam pada itu, saham-saham teknologi China mencatat kerugian ketara selepas konglomerat teknologi dan hiburan negara itu, Tencent Holdings Ltd mengumumkan untuk melepaskan kepentingannya sebanyak US$20 bilion dalam Meituan (platform beli-belah),” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi seperti Maybank naik lima sen kepada RM8.56, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.31, CIMB meraih enam sen kepada RM5.41 dan IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM5.97 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.62.

Bagi saham aktif, Advance Synergy dan Malayan United Industries masing-masing naik setengah sen kepada 12.5 sen dan sembilan sen, Perdana Petroleum untung dua sen kepada 11 sen, Top Glove susut 3.5 sen kepada 92.5 sen dan Citaglobal rugi setengah sen kepada 23 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas Shariah susut 54.04 mata kepada 10,398.77, Indeks FBM Emas turun 15.72 mata kepada 10,279.24, Indeks FBMT 100 berkurangan 13.05 mata kepada 10,010.81, FBM 70 merosot 94.55 points kepada 12,159.50 manakala FBM ACE turun 82.25 mata kepada 4,914.92.

Bagi sektor pula, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.17 mata kepada 178.60, Indeks Perladangan susut 21.97 mata kepada 6,880.23 manakala Indeks Tenaga menokok 3.23 mata kepada 723.33 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 86.49 mata kepada 16,175.80.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.85 bilion saham bernilai RM1.65 bilion daripada 1.64 bilion saham bernilai RM1.52 bilion pada Rabu.

Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 399.82 juta unit bernilai RM75.64 juta daripada  daripada 317.42 juta unit bernilai RM60.02 juta semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan menokok kepada 387.19 juta saham bernilai RM120.68 juta daripada 356.42 juta bernilai RM127.41 juta, sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 480.06 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (384.96 juta), pembinaan (40.47 juta), teknologi (389.84 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.45 juta), hartanah (114.98 juta), perladangan (20.72 juta), REIT (3.41 juta), tutup/dana (5,100), tenaga (141.68 juta), penjagaan kesihatan (140.35 juta), telekomunikasi dan media (20.66 juta), pengangkutan dan logistik (20.34 juta) serta utiliti (11.57 juta). – BERNAMA

Loading...
Terkini