comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia akhiri penyusutan tujuh hari susulan belian pada harga rendah

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menamatkan penyusutan selama tujuh hari apabila ditutup tinggi hari ini berikutan terdapat belian semasa harga rendah disebabkan penjualan baru-baru ini, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.35 peratus atau 5.57 mata kepada 1,590.95 daripada 1,585.38 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.01 mata lebih tinggi kepada 1,586.39 dan bergerak antara 1,581.76 dan 1,593.42 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 674 berbanding 433, dengan 465 kaunter tidak berubah, 873 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.73 bilion unit bernilai RM3.22 bilion daripada 5.23 bilion unit bernilai RM3.70 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI pulih kepada wilayah positif menerusi dorongan perkembangan pasaran yang menggalakkan.

Beliau berkata saham utiliti dan penjagaan kesihatan mendahului peningkatan semula itu, dengan saham mewah dalam sektor ini kekal menerima tarikan dalam kalangan pencari belian semasa harga rendah, terutama selepas pembetulan harga minggu lepas.

“Prestasi pasaran hari ini seterusnya didorong oleh peningkatan semula saham semikonduktor NVIDIA malam tadi, yang akhirnya kembali menokok selepas menyusut 15 peratus sejak tiga hari lepas.

“Selain itu, Tinjauan Keyakinan Pengguna Amerika Syarikat bagi Jun turun kepada 100.4 berbanding 101.3 pada Mei, memberikan sedikit ruang kepada Rizab Persekutuan untuk mempertimbangkan pengurangan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpandangan keadaan pasaran akan kekal stabil berikutan sentimen pelabur yang semakin baik.

“Pelabur kini memihak kepada saham utiliti, bank, dan saham permodalan kecil dalam sektor teknologi dan penjagaan kesihatan.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks ini akan kekal positif pada masa hadapan, didorong oleh pendirian optimis baharu,” katanya kepada Bernama.

Thong mengunjurkan FBM KLCI diniagakan lebih tinggi dalam julat 1,585-1,600 pada sepanjang minggu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini