comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia akhiri sesi dagangan pagi dengan bercampur-campur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan awal Isnin dengan bercampur-campur susulan aktiviti pengambilan untung secara sederhana dalam kaunter telekomunikasi dan media terpilih.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 0.35 mata kepada 1,463.78 daripada paras 1,463.43 pada Jumaat lepas.

Indeks pemacu pasaran yang dibuka naik 0.64 mata kepada 1,464.07, berlegar dalam julat 1,460.84 hingga 1,465.93 sepanjang sesi dagangan itu.

Pasaran secara meluas bagaimanapun adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 499 berbanding 409 manakala 399 kaunter lain tidak berubah; 1,017 tidak diniagakan dan 31 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.32 bilion unit bernilai RM1.21 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama tempatan dijangka menyaksikan aliran dalam julat 1,460-1,475 hari ini berikutan prestasi pasaran yang terus baik, berdasarkan prestasi memberangsangkan yang dicatatkan pada minggu lepas.

“Kaunter minyak dan gas berkemungkinan menyaksikan beberapa perkembangan susulan aliran peningkatan harga minyak mentah berikutan penyusutan stok simpanan serta pengeluaran,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, setakat pagi ini, minyak mentah Brent menghampiri harga US$89 setong.

Menyentuh prestasi pasaran luar, Thong berkata Wall Street ditutup bercampur-campur minggu lepas walaupun dibuka mengukuh berikutan kadar pengangguran Amerika Syarikat (AS) yang mencatat peningkatan kecil. — BERNAMA

Loading...
Terkini