comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia akhiri sesi dagangan tengah hari rendah

FOTO: Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah hari ini seiring dengan prestasi bursa serantau lain ekoran kekurangan pemangkin baharu.

Sentimen juga lebih berhati-hati terhadap ketidaktentuan global.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.02 peratus atau 14.92 mata kepada 1,445.46 berbanding penutupan Isnin pada 1,445.46.

Indeks utama dibuka pada 1,457.64, susut 2.74 mata pagi ini dan berlegar antara 1,444.39 dan 1,457.64 sepanjang sesi.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 460 berbalas 255, manakala 359 kaunter tidak berubah, 1,230 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.61 bilion unit bernilai RM720.37 juta.

Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, dagangan dijangka kekal lemah menjelang keputusan kadar faedah di kedua-dua Amerika Syarikat dan Malaysia.

“Namun begitu, kami menjangkakan indeks berada dalam aliran antara 1,455-1,470 hari ini kerana pembelian sepatutnya berterusan dalam ekuiti tempatan, khususnya saham berkaitan perbankan dan telekomunikasi.

“Kami percaya Bank Negara mungkin menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas semasa mesyuarat jawatankuasa dasar monetari (MPC) pada hari Rabu dan Khamis, justeru,  ini seharusnya menyediakan pemangkin kepada saham perbankan,” kata firma broker itu kepada Bernama.

Kaunter wajaran tinggi, IHH Healthcare dan Hong Leong menokok 2.0 sen setiap satu kepada RM5.97 dan RM20.80.

Bagaimanapun, Maybank susut 6.0 sen kepada RM8.53, Public Bank lemah 4.0 sen menjadi RM4.43 dan Petronas Chemicals turun 11 sen kepada RM8.61.

Bagi saham aktif pula, KNM merosot 4.0 sen kepada 4.5 sen, Advance Synergy, Bina Puri dan Alam Maritim semuanya kerugian setengah sen untuk mencatatkan harga 7.5 sen, 3.0 sen dan 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 91.85 mata kepada 10,258.99, FBM 70 susut 80.61 mata menjadi 12,186.12, dan Indeks FBMT 100 kehilangan 94.54 mata kepada 9,995.39.

Indeks FBM Emas Syariah jatuh 97.99 mata kepada 10,313.12 dan FBM ACE susut sebanyak 22.64 mata kepada 4,836.29.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga 4.78 mata lebih rendah pada 693.72, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 133.73 mata kepada 16,322.94 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 1.49 mata kepada 174.31.

Indeks Perladangan menguncup 86.60 mata kepada 6,793.32. — BERNAMA

Loading...
Terkini