
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Khamis, dengan belian ke atas saham berwajaran tinggi terpilih mengehadkan penurunan dalam keadaan sentimen lemah di pasaran serantau, kata peniaga.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.33 mata kepada 1,461.95 daripada 1,460.62 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks utama itu, yang dibuka 0.64 mata lebih rendah kepada 1,459.98, bergerak di antara 1,458.27 dengan 1,463.30 semasa sesi pagi.
Keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 461 berbanding 326, manakala 435 kaunter tidak berubah, 1,089 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan 1.97 bilion unit bernilai RM937.14 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pengumpulan saham yang dilihat semalam dijangka berterusan susulan volum dagangan yang bertambah baik sejak beberapa hari lepas.
Beliau berkata indeks penanda aras itu dijangka berada dalam aliran berjulat 1,460 hingga 1,470 hari ini.
“Wall Street meneruskan prestasinya yang lembap memandangkan kebimbangan terhadap kadar faedah kembali memjejaskan sentimen apabila hasil 10 tahun Amerika Syarikat meningkat lebih tinggi kepada 4.296 peratus. Akibatnya, Purata Perindustrian Dow Jones susut hampir 200 mata manakala Nasdaq turun sebanyak 148 mata,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA