comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia cemerlang melonjak 18.72 mata

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup kukuh pada Selasa melonjak lebih satu peratus disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah susulan jualan besar-besaran pada minggu lalu, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 18.72 mata atau 1.17 peratus kepada 1,615.40 daripada paras penutup 1,596.68 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah susut 0.74 kepada 1,595.94, turun naik antara paras 1,595.35 dan 1,617.41 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 666 berbanding 545, dengan 467 kaunter tidak berubah, 674 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 4.46 bilion unit bernilai RM3.94 bilion daripada 5.45 bilion unit bernilai RM6.84 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup tinggi hari ini apabila aktiviti membeli saham berharga rendah muncul susulan aktiviti jualan pada minggu lalu.

“Sementara itu, indeks utama serantau ditutup bercampur-campur. Bagaimanapun, belian saham teknologi kekal kukuh dipacu oleh permintaan tinggi berterusan terhadap kecerdasan buatan (AI) dan sektor berkaitan, susulan pengumuman cip AI generasi baharu bagi 2025 dan pembangunan platform generasi seterusnya, Rubin, bagi 2026 oleh Nvidia, semasa persidangan komputer di Taiwan,” katanya kepada Bernama.
Pak Leng berkata, beliau optimis terhadap bursa tempatan memandangkan sentimen pelabur yang semakin bertambah baik.

“Susulan kembalinya semula dana asing ke dalam pasaran dan jumlah dagangan harian yang kukuh kira-kira 4.5 bilion saham bernilai hampir RM4 bilion, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,610 hingga 1,630 bagi minggu ini dengan paras rintangan segera diunjurkan pada 1,615 dan paras sokongan pada 1,600,” katanya.

BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini