comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia Derivatives Clearing diiktiraf pihak berkuasa sekuriti Eropah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Derivatives Bhd, Bursa Malaysia Derivatives Clearing Bhd, pusat penjelasan yang diluluskan bagi pasaran derivatif Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Pasaran Modal diiktiraf sebagai Third-Country Central Counterparty (TC-CCP) oleh European Securities and Markets Authority (ESMA).

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata pengiktirafan TC-CCP itu diberikan kepada  Bursa Malaysia Derivatives Clearing pada 7 Nov, di bawah Peraturan Infrastruktur Pasaran Eropah (EMIR).

“Bursa kini mempunyai akses lebih meluas dalam komuniti pelaburan Eropah manakala rakan niaga Eropah akan dapat menjalankan perniagaan dengan lebih mudah dan pada kos lebih efektif dengan Bursa Malaysia,” katanya.

Pemangku pengarah Bursa Malaysia Derivatives Saleem Kader Bakas berkata pengiktirafan itu mengesahkan bahawa Bursa Malaysia diselaraskan dengan standard antarabangsa yang seterusnya boleh mewujudkan peluang baharu dengan institusi penjelasan Eropah.

“Kita adalah bursa ketiga di Asean yang diberikan pengiktirafan itu yang mana merupakan satu pencapaian penting bagi Bursa Malaysia,” katanya.

Di bawah peraturan EMIR, hanya TC-CCP yang diiktiraf boleh menyediakan perkhidmatan penjelasan kepada ahli-ahli atau venue dagangan yang ada di Kesatuan Eropah.

“Selain itu, dengan pengiktirafan tersebut bermakna peserta pasaran dari Eropah tertakluk kepada keperluan atau perubahan modal rendah di bawah rangka kerja Basel III yang diperkenalkan oleh Basel Committee on Banking Supervision, yang membolehkan ahli-ahli Eropah menguruskan kecekapan risiko rakan niaga mereka,” kata bursa itu.  – BERNAMA

Loading...
Terkini